BAGAN DATUK: Kerajaan negeri menggesa peneraju sistem telekomunikasi meningkatkan kualiti jalur lebar di daerah Bagan Datuk, khususnya di sekitar kawasan luar bandar.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ianya sesuai dengan objektif pembangunan prasarana serta infrastruktur yang giat dijalankan di daerah ke – 12 itu.

Menurut beliau, sebagai sebuah daerah terbaharu, Bagan Datuk bukan sahaja memerlukan pembangunan prasarana, tetapi juga penyediaan sistem telekomunikasi terkini yang seiring dengan kemajuan yang dirancang.

“Saya harapkan agar peneraju telekomunikasi atau telco dapat bekerjasama dan memastikan ketercapaian rangkaian jalur lebar itu dapat meliputi semua lokasi, baik di kawasan luar bandar, pekan, pulau-pulau, malah kawasan pinggiran, bertepatan dengan apa yang telah kita gagaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Tindakan Strategik Koperasi Perak dan Taklimat Peluang Perniagaan kepada Anggota Lembaga Koperasi di Dewan Hajah Tuminah, di sini pada Khamis.

Dr Zambry sebelum itu turut melakukan lawatan bersama KPerak untuk mengenalpasti lokasi rangkaian jalur lebar yang lemah di sekitar pekan Bagan Datuk.

Menurut beliau, pihaknya sedang meneliti polisi telco dalam memastikan penembusan jalur lebar dan rangkaian perkhidmatan di seluruh negeri dapat mencapai kualiti dan standard yang terbaik dalam masa terdekat.

“Kita dapati ada peneraju-peneraju telco yang tidak mendapat kebenaran daripada kerajaan negeri, justeru, kita akan lihat semula perkara tersebut bersama dengan pihak berwajib,” ujarnya.

Menteri Besar menambah, beliau telah meminta KPerak untuk melihat secara praktikal mana-mana kawasan yang masih perlu ditambahbaik dari segi rangkaian dan jaringan telekomunikasi untuk memastikan semua pihak dapat menikmati kemajuan baik dari segi infra dan dunia digital.