LUMUT: Kerajaan negeri menggesa pihak berwajib agar segera melaksanakan penaiktarafan menara pemancar telekomunikasi di sepanjang jajaran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) supaya pengguna dapat menikmati perkhidmatan yang lebih berkesan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kualiti perkhidmatan komunikasi yang sering terganggu di beberapa “blind spot” di sepanjang lebuhraya PLUS 220 kilometer itu harus ditambahbaik dengan segera.

“Saya telah mengadakan perbincangan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan membangkitkan mengenai keperluan penambahan menara pemancar ini,banyak titik buta atau blind spot di sepanjang jajaran lebuhraya ini.

“Ini perlu dijadikan kenyataan sekiranya kita ingin menjadikan fasiliti dan kemudahan lebuhraya PLUS berada di kelas pertama dan saya yakin penambahbaikan sistem komunikasi ini akan dapat dilaksanakan secara lancar,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Back to School di Dewan M Sidek Shabudin, KD Pelanduk, Pengkalan TLDM di Lumut pada petang Isnin.

program-back-to-school-6

Menjawab mengenai pelan pembinaan susur keluar lebuhraya di Kampar, Dr Zambry berkata kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan teliti mengenai perkara tersebut.
“Sememangnya perkara ini diuruskan oleh PLUS namun semua jenis projek melibatkan susur keluar sebegini perlu dirujuk kepada perjanjian bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia ( LLM).

” Sebelum ini, kita telah bercadang untuk membuat susur keluar Taiping tapi mempertimbangkannya semula setelah menilai semula jarak susur keluar dan masuk di Kamunting dan Changkat Jering gang amat dekat,”katanya lagi.

Dr Zambry berkata justeru beliau telah mencadangkan untuk membinanya berhampiran Kampar, di antara Gopeng dan Tapah namun ianya bergantung kepada kos pembinaan keseluruhannya.

“Itu hasrat kita namun ianya masih bergantung kepada proses pemasangan dan sudut teknikal setelah kajian dilakukan.

Itulah sebabnya kerajaan negeri terbuka kepada sebarang saranan balas daripada pihak PLUS dan pihak teknikal lebuhraya.