IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Nadir mengajak umat Islam meningkatkan ketaqwaan dan keimanan dengan mengambil kelebihan bulan Ramadan.

Sambil mengucapkan Selamat Berpuasa, beliau berkata, kedatangan bulan yang penuh barakah itu seharusnya menjadi medan untuk umat berpuasa dari segala sifat mazmumah.

Melalui mesej video sempena Ramadan yang berdurasi hampir tiga minit, beliau mengajak umat Islam mengamalkan sifat mahmudah serta berpuasa secara zahiriah dan batiniah.

“Bersama-samalah kita meningatkan ketaqwaan dan keimanan kita; (dengan) bukan sahaja berpuasa sekadar zahiriah namun juga secara batiniah.

“Ini merupakan medan kita berpuasa dari segala benci membenci, iri hati, bercakap mengenai perkara-perkara keji dan tidak baik serta berkelahi sesama Islam,” katanya.

Menteri Besar mewakili keluarga serta pimpinan kerajaan negeri turut mendoakan umat Islam dikurniakan kesihatan dan kekuatan untuk melaksanakan segala kewajipan yang dituntut pada bulan tersebut.

“Semoga segala bentuk keberkatan dapat kita garap dan saya mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan mubarak buat semua,” ujarnya.