PETALING JAYA: Tiga orang termasuk sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menipu seorang kontraktor sebanyak RM1.06 juta, dua tahun lalu.

Pengurus projek syarikat pembinaan, Mohd Nasir Abu Hasan, 52; isterinya yang juga pengarah syarikat sama, Nazhatul Syahira Sanusi, 25, serta arkitek, Wan Anizam Wan Ishak, 52, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Ketiga-tiga didakwa secara bersama menipu S Lecthumanan, 47, dengan memperdayakannya melabur dalam projek Lebuh Raya Pantai Timur Selatan sedangkan projek itu tidak wujud.

Semua tertuduh didakwa mendorong Letchumanan menyerahkan wang berjumlah RM1.06 juta dan perbuatan itu didakwa dilakukan di Wisma Thiviya Builders Sdn Bhd, Jalan SP 2/4 Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan dekat sini, pada September 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 seksyen sama dan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ashyraf Ashy’ari Kamaruzaman menawarkan jaminan RM100,000 setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Peguam bela, M Manoharan dan Lily Chua yang mewakili Mohd Nasir dan Nazhatul Syahira memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya perlu menanggung tiga cahaya mata serta ibu bapa.

Peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili Wan Anizam turut memohon jaminan rendah kerana anak guamnya hanya berpendapatan RM4,000 sebulan dan perlu menyara tiga orang anak.

Mahkamah membenarkan jaminan RM20,000 setiap tertuduh dengan seorang penjamin selain syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Tarikh 6 Jun ditetapkan untuk sebutan semula kes – berita harian