TAPAH: Seorang penoreh getah meninggal dunia selepas motosikalnya bergesel dengan sebuah lori pasir di Kilometer 49 Jalan Ipoh – Teluk Intan di Pekan Air Kuning dekat sini, pagi Rabu.

Kemalangan berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi apabila motosikal yang ditunggang Ong Kok Tau, 73, dikatakan berada di titik buta (blind spot), sebelum bergesel dengan lori berkenaan.

Lori yang dipandu K. Adithan, 66, itu dikatakan sedang dalam perjalanan ke Ipoh.

Menurut laporan Ibu Pejabat Polis Tapah, warga emas itu mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Penunggang memakai topi keledar yang tidak mempunyai tali keledar,” kata laporan itu.

Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah dan bedah siasat dijalankan tengahari tadi untuk mengetahui punca kematian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.