SANDAKAN: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) merancang untuk memiliki 36 kapal ronda dan kapal misi pesisir secara berperingkat dalam usaha meningkatkan kemampuan aspek keselamatan di perairan negara.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, berkata perancangan itu tertakluk kepada kemampuan kerajaan bagi mendapatkan kapal baharu dalam jangka panjang.

Katanya, ia juga selaras dengan Pelan Transformasi TLDM ’15 to 5′ bagi mengurangkan kelas armada TLDM, namun dalam masa sama menambah jumlah setiap kapal.

“Buat masa ini, kita ada enam kapal ronda dan akan ditambah secara berperingkat sehingga menjadikan keseluruhan 18 kapal ronda dan begitu juga sebanyak 18 kapal literal mission ship (kapal misi pesisir) yang bertujuan untuk menjaga perairan negara.

“Dengan adanya kelengkapan ini, kita yakin dapat menyumbang kepada keselamatan negara secara menyeluruh, bukan saja meningkatkan kemampuan dari segi tempur TLDM, malah membantu agensi penguatkuasa maritim untuk mengurangkan ancaman luar seperti pencerobohan nelayan asing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Jubli Emas Skuadron Kapal Ronda Pasukan Simpanan Ke-13 di Pangkalan TLDM Sandakan di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman; Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Abdul Rahmab Ayob dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk Charles Pang Su Pin.

Ahmad Kamarulzaman berkata, TLDM juga dalam proses memindahkan aset jenis kapal ronda daripada Armada Barat ke Armada Timur bagi mengukuhkan keupayaan pasukan keselamatan mengawasi perairan negara khususnya di Sabah dan Sarawak.

“Apabila empat kapal misi pesisir yang dalam pembuatan siap, kita akan gantikan dengan kapal ronda kecil yang digunakan sekarang,” katanya – berita harian