LUMUT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menyelamatkan lima awak-awak dan tekong warga Indonesia selepas bot mereka terbakar, 20 batu nautika barat daya Tanjung Sauh di perairan Selangor, 4.50 petang Rabu.

Asisten Ketua Staf Operasi Markas Pemerintahan Armada TLDM, Kapten Azman Rabani berkata, bot nelayan milik warga tempatan itu diselamatkan kapal KD Kinabalu yang sedang menjalankan operasi di kawasan berhampiran.

Menurut beliau, anggota KD Kinabalu yang menyaksikan kejadian terus melaporkan kepada Pusat Operasi Armada dan segera memberikan bantuan pemadaman api yang berjaya dikawal sepenuhnya.

“Kebakaran menyebabkan kerosakan besar kepada bot, menyebabkan sebahagian daripadanya tenggelam, namun semua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya pada sidang media di Jeti Operasi Pangkalan TLDM Lumut, di sini, pada Khamis.

Azman berkata, bot mangsa kemudian ditarik dengan bantuan bot nelayan lain manakala semua mangsa dibawa ke Pangkalan TLDM untuk diserahkan kepada pemilik bot.