KUALA LUMPUR : Telekom Malaysia (TM) akan menurunkan harga kepada pengguna Streamyx, setahun selepas potongan harga dan menaik taraf pelanggan jalur lebarnya susulan keputusan kerajaan untuk menguatkuasakan Standard Mandatori Mengenai Capaian (MSAP).

TM dalam suatu pengumuman hari ini berkata akan menurunkan harga pakej baru jalur lebarnya.

Sekarang ini, pakej internet dengan kelajuan sebanyak 8Mbps berharga RM160 sebulan.

“Kami juga gembira untuk mengumumkan pakej jalur lebar baru buat pelanggan kediaman pada harga RM89/bulan yang memberikan kepantasan sehingga 8Mbps, manakala pelanggan kediaman Streamyx yang sedia ada juga boleh menikmati pakej yang sama hanya pada harga RM69/bulan,” kata TM dalam suatu kenyataan hari ini.

Tahun lalu, pelaksanaan MSAP menyaksikan harga UniFi dan perkhidmatan jalur lebar lain turun antara 30 hingga 50 peratus serta dalam masa yang sama berlaku peningkatan kelajuan.

Walau bagaimanapun, pelanggan Streamyx, yang mana khidmat internetnya berasaskan dawai tembaga, meluahkan rasa tidak puas hati mereka kerana merasa ditinggalkan dan tidak dapat menaik taraf ke UniFi disebabkan kekangan infrastruktur.

Walau bagaimanapun, TM berkata selain mengurangkan harga pengguna Streamyx, ia akan melancarkan suatu rangkaian bermula hari ini supaya pengguna Streamyx akhirnya dapat mempunyai pilihan.

“Kami akan mengatasi kekangan yang dihadapi oleh rangkaian tembaga menerusi pelbagai teknologi seperti fiber, wayarles dan GigaWire. Penambahbaikan ini akan dilaksanakan secara berfasa mulai hari ini hingga 2021.

“Kami berharap agar dapat meningkatkan pengalaman internet untuk sekurang-kurangnya 70 peratus pelanggan menjelang akhir 2020,” kata TM lagi.

TM berkata ia telah mengemukakan pelan itu kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia, yang telah menegur TM untuk menangani aduan pelanggannya itu.

Menurut TM, setakat ini, 973,000 pelanggan UniFi telah dinaik taraf kepada kelajuan yang lebih tinggi dan pelan baru itu bertujuan untuk menangani baki 934,000 pengguna Streamyx.

Pengerusi TM Group i Rosli Man berkata syarikat itu komited untuk menangani isu di kalangan pengguna rangkaian tembaganya.

“Kami komited untuk menyelesaikan isu Streamyx dan yakin pelan itu merupakan cara untuk mengatasi bukan sahaja batasan terhadap rangkaian jalur lebar tembaga tetapi juga meletakkan asas bagi pengalaman internet yang lebih baik untuk semua pelanggan sedia ada dan pada masa depan di seluruh negara.

“Kami mengalu-alukan pendekatan kerjasama, bekerja dekat dengan kerajaan, kementerian dan SKMM untuk menyampaikan pengalaman jalur lebar berkelajuan tinggi ke arah mencapai aspirasi Malaysia negara digital,” katanya dalam satu kenyataan.