KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, setiap kenyataan yang dikeluarkan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim adalah atas kapasiti orang biasa.

Katanya, TMJ berhak mengeluarkan sebarang kenyataan yang tidak berbaur hasutan atau berkemungkinan besar berdepan dengan tindakan undang-undang kerana dirinya tidak kebal.

“Dia boleh bercakap apa sahaja seperti orang biasa. Kita anggap dia sebagai orang biasa dan boleh kritik kerajaan seperti orang biasa.

“Dia boleh bercakap dan tidak melanggar undang-undang. Jika membuat kenyataan yang dianggap menghasut, kita akan ambil tindakan undang-undang. Dia tidak kebal undang-undang.

“Malah tidak ada sesiapa di negara ini yang kebal undang-undang sebenarnya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen sebentar tadi.

Dr Mahathir mengulas mengenai kritikan yang dilemparkan Tunku Ismail terhadap Putrajaya sejak kebelakangan ini.

Menurut perdana menteri, terpulang kepada TMJ untuk membuat pilihan seandainya mahu menjadi ahli politik pada masa akan datang.

“Sebagai rakyat Malaysia yang berhak menyuarakan suara dengan bebas, dirinya juga bebas bersuara. Tidak ada masalah. Tidak lebih daripada itu,” ujarnya.

Baru-baru ini, Dr Mahathir berkata, kenyataan TMJ yang mendakwa kerajaan tidak merujuk kepada Majlis Raja-Raja ketika membuat keputusan menyertai Statut Rom adalah pendapat beliau sendiri serta bercakap untuk dirinya sendiri.

Hari ini, TMJ menulis di laman sosial Twitter beliau tentang spekulasi penggantian Menteri Besar yang baharu serta dalam nada menyindir mengkritik pihak tertentu yang dianggap cuba ‘mengambil kredit’.

“Titah untuk tukar Menteri Besar dah lama. Tetapi orang lain pula nak ambil kredit dan mileage, kononnya dia arahkan.

“Ke bawah Duli Tuanku sudah meneliti untuk tukar MB sejak berbulan lalu. Jangan lupa, kuasa memilih Menteri Besar adalah hak mutlak Sultan. Cukup-cukuplah politicking.”

Itu ciapan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini.-MalaysiaGazette