IPOH: Kerajaan negeri hari ini menzahirkan perasaan kecewa terhadap tohmahan pembangkang terhadap agenda Tahun Melawat Perak 2017 yang seharusnya menjadi usahasama semua pihak.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Nolee Ashilin Radzi berkata beliau hampa dengan tuduhan tidak berasas pihak pembangkang yang tidak henti-henti mempersoalkan kredibiliti kerajaan negeri mempromosikan Perak dengan efisien dan sistematik.

Katanya, sebagai warga negeri Perak, agenda itu harus digerakkan secara bersepadu dan bukannya dengan menimbulkan keraguan di antara rakyat setempat dan seterusnya pelancong ke negeri ini.

“Tahun Melawat Perak 2017 sepatutnya menjadi satu agenda yang merentasi perbezaan ideologi, parti politik dan kepentingan individu, janganlah ada pihak yang memutarbelitkan fakta untuk dividen politik.

“Berikan cadangan yang membina dan bantu bersama-sama untuk membawa Perak ke persada global untuk merealisasikan impian ini, itu adalah yang terbaik dan diharapkan,” katanya kepada Suara Perak.

Kata Nolee, antara contohnya adalah pihak Amanah yang mempersoalkan kredibiliti Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) dalam mengendalikan dan menaiktaraf khazanah Kapal Korek Tanjung Tualang 5 (TT5) seperti yang dilaporkan dalam Perak Today pada 31 Mac lepas.

Selain itu, tindakan mereka mempersoalkan usaha kerajaan negeri dalam mempromosi negeri Perak di mata dunia juga adalah tanpa sebarang usul periksa yang baik tanpa berbincan dengan pihak pelancongan negeri.

“Justeru, saya harap sekiranya memang benar ada lagi kawasan tidak dikenalpasti atau kurang mendapat tumpuan yang perlu diberikan perhatian, datang kepada kami berikan pandangan, kita kongsi bersama sebagai warga Perak bukannya membandingkan dengan negeri lain kerana keunikan dan warisan setiap tempat adalah berbeza,” ujarnya.