BAGAN DATUK: Kerajaan menerusi Transformasi Nasional 2050 (TN50) akan mengambil langkah untuk menterjemahkan agenda-agenda agama Islam bagi 33 tahun dari sekarang.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, beliau telah diberi mandat bersama-sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan timbalannya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki untuk membuat program yang sama, khusus untuk menterjemahkan agenda agama Islam.

“Malam tadi kita ada dialog perdana TN50, Perdana Menteri mengarahkan saya untuk memberitahu Jamil Khir dan juga Ashraf Wajdi bagi kita membuat program yang sama khusus untuk menterjemahkan agenda-agenda agam Islam.

“TN50 ini ada bidang pendidikan, teknologi, kreativiti, inovasi dan sebagainya, kami bertiga telah diarahkan oleh PM untuk buat TN50 bagi kluster atau bidang-bidang,” katanya ketika berucap melancarkan E-KAFA Perak di Karnival Mahabbah Institusi Agama di Dataran Masjid Al-Falah, Kampung Sungai Nipah dekat sini pada Jumaat.

Karnival sempena program Permukiman Menteri Besar di daerah Bagan Datuk itu dihadiri lebih 800 penduduk kampung.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, menerusi TN50 itu, ia bukan sekadar mementingkan sistem pendidikan, malah pengisiannya juga amat penting.

“Mesti ada pengisian dalam sistem pendidikan, kalau kita mahu balik kepada yang lama…sistem tahun 60an atau 70an, asasnya harus kita kekalkan tetapi harus disesuaikan dengan keboleh pasaran kepada keluaran sekolah atau institusi pengajian yang bersandarkan pendidikan Islam,” ujarnya.