Oleh:Nazialita Geynna Maharan

SERI ISKANDAR: Transformasi Nasional 2050 (TN50) merupakan kaedah terbaik dalam mengubah pendekatan jenis paternalisme yang diamalkan oleh barisan kepimpinan negara sebelum ini.

Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun berkata, TN50 ialah satu pendekatan bersifat terbuka, berbeza dengan Wawasan 2020 yang memaksa rakyat untuk menerima matlamat dan visi kerajaan tanpa mengambil kira pandangan ramai secara menyeluruh.

Beliau berkata, oleh itu, ia merupakan platform terbaik bagi belia untuk menyuarakan hasrat mereka dalam bersama memajukan negara ini menjelang tahun 2050 kelak.

“Dahulu, apa sahaja yang pemimpin katakan dan laksanakan, secara tak langsung memaksa rakyat untuk menerimanya, contohnya nak jadi negara maju dengan pendapatan perkapita melebihi RM15,000.

“Ini adalah konsep paternalisme, kita pun terima sebulatnya walaupun perancangan itu akan tamat pada 2020, sedangkan kita mahu hidup dalam generasi milenium akan datang dalam 30-40 tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sesi Town Hall: Kita Boleh di Dewan Seri Iskandar, Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Seri Iskandar yang turut dihadiri oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di sini, pada petang Sabtu.

Khairul Azwan berkata, ini adalah masanya untuk pendekatan berbentuk pemerkasaan di mana suara atau idea golongan belia yang menjadi tonggak penggerak TN50 amat penting untuk didengari kerajaan.

Jelasnya, ini adalah masa terbaik bagi beliau serta Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin untuk mendengar isi hati dan hasrat sebenar anak muda mengenai Malaysia di masa depan.

“Satu hari nanti, golongan muda akan mengambil alih kepimpinan negara dan mencorak hala tujunya, walaupun jarak masa masih panjang namun kita perlu memulakannya dari sekarang.

“Di pihak kami pula, kami akan memastikan input dan suara yang dilontarkan belia seluruh negara akan dirangkumkan ke dalam rangka penghasilan TN50 kelak,” katanya lagi.

Tegasnya, beliau dan seluruh jentera pasukan TN50 akan mengumpulkan serta menganalisis setiap idea bernas sebelum meneliti input tersebut agar ianya menjadi asas dalam aspirasi TN50 di negara ini.