IPOH: Program TN50@Manjung bakal bersiaran secara langsung melalui saluran radio Perakfm dari lokasi Dewan Inderawati, Beruas pada pukul 8 malam esok sempena Permukiman Menteri Besar di Daerah Manjung bermula esok sehingga 28 Oktober ini.

Program Pemukiman Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di daerah-daerah di negeri ini yang memasuki edisi ke-11 menyenaraikan sebanyak 167 program yang akan berlangsung di Parlimen Lumut dan Beruas.

Pegawai Daerah Manjung, Mohamad Fariz Mohamad Hanip berkata, program itu akan membabitkan penyertaan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan barisan Exco kerajaan negeri serta pembabitan ketua-ketua jabatan kerajaan dan agensi-agensi berkaitan kerajaan.

Beliau berkata, sebagaimana program terdahulu, kepimpinan tertinggi negeri akan bersama-sama dengan rakyat melaksanakan pelbagai aktiviti dan program sekaligus mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang ada di kawasan ini.

“Justeru itu, diharapkan masyarakat akan dapat bersama-sama menyertai setiap program yang dijalankan dan ini juga peluang untuk mereka bertemu secara dekat dengan kerajaan dan barisan pemimpin.

“Rebut peluang yang ada ini sepanjang lima hari program berlangsung di harap dapat membantu menyelesaikan masalah yang ada,” katanya pada sidang media sempena program Pemukiman Menteri Besar, hari ini.

Program Permukiman Menteri Besar itu akan dimulakan petang esok dengan perlawanan bola sepak di antara Team MB melawan Pilihan Beruas di SK Changkat, Beruas. Pada sebelah malamnya pula, akan diadakan TN50@Manjung Live Perakfm di Dewan Inderawati, Beruas.

Pada hari Rabu, bermula 8 pagi, akan berlangsung program Teras Kesejahteraan Rakyat, Kelestarian Alam & Sumber, program Perak Yang Bersih@Manjung yang dijadualkan membabitkan penyertaan Dr Zambry dalam Gotong Royong Perdana di pekan Beruas.