BAGAN DATUK: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyampaikan sumbangan bantuan kelengkapan persekolahan kepada 200 murid berusia 13 tahun, daripada keluarga kurang berkemampuan dari beberapa buah sekolah menengah di kawasan Bagan Datuk.

Sumbangan disampaikan oleh Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Khairuddin Tarmizi, di SMK Hutan Melintang, pada Sabtu.

Program Jom ke Sekolah atau Back To School itu merupakan sebahagian inisiatif tanggungjawab sosial korporat TNB (CR) dalam bidang pendidikan.

TNB_bantu_200murid 2

Program bantuan kelengkapan persekolahan murid-murid itu bertujuan meringankan beban golongan kurang berkemampuan dalam menyediakan persiapan persekolahan.

Mereka menerima set kelengkapan sekolah bernilai RM200 seorang dengan kos keseluruhan RM40,000.00.

Bantuan kelengkapan itu mengandungi sepersalinan pakaian seragam, kasut serta beg sekolah.

Pengurus Besar (Perkhidmatan Pelanggan) Perak, Bahagian Pembahagian, TNB, Raja Datuk Abd Jalil Raja Zaid berkata, TNB amat memahami kekangan kewangan yang dihadapi golongan kurang berkemampuan dalam mempersiapkan kelengkapan persekolahan anak-anak, terutamanya kepada keluarga yang mempunyai ramai anak.

Program anjuran TNB itu turut dilaksanakan di 50 buah daerah di seluruh negara. Seramai 10,000 murid menerima sumbangan dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM2 juta.

Sejak program itu diperkenalkan pada 2013, seramai 12,000 pelajar dari 800 sekolah telah mendapat manfaatnya.