IPOH – Kecekapan dan keprihatinan seorang warga kerja Stesen Janakuasaelektrik Sungai Perak berjaya menyelamatkan 12 penduduk Orang Asli termasuk bayi daripada lemas apabila bot dinaiki hampir karam.

Kejadian sekitar jam 4 petang itu berlaku ketika anggota kerja awam stesen terbabit menjalankan rutin penyelenggaraan di beberapa stesen tolok hujan di kawasan Tasik Royal Belum, Gerik.

Bot berkenaan dikatakan mengalami kebocoran dipercayai akibat lebih muatan.

Detik mendebarkan yang berlaku pada 25 Julai lalu itu, dikongsi Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui satu status yang dimuat naik melalui akaun Twitter Tenaga Nasional, hari ini.

Dalam satu kenyataan, TNB Sungai Perak memaklumkan, bot dinaiki anggota berkenaan secara kebetulan terserempak dengan sebuah bot membawa penduduk Orang Asli dari Kampung Bongor Hilir, Sungai Kejar.

Selain wanita, turut berada dalam bot sepanjang lebih tiga meter itu adalah bayi dan kanak-kanak.

Katanya, keadaan bot terbabit hampir karam menyebabkan anggota segera mengeluarkan dan memindahkan semua mangsa ke dalam bot yang digunakan.

“Proses pemindahan berjalan lancar dan anggota kemudiannya menghantar semua mangsa ke kampung berdekatan.

“Perjalanan penghantaran memakan masa dalam satu jam dengan jarak antara 40 hingga 50 kilometer,” katanya – sinar