TRONG: Seramai 18 keluarga di Bukit Gantang dan Taiping menikmati pendawaian elektrik secara percuma melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Tenaga Nasional Berhad (TNB) sempena Permukiman MB siri 4.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, di samping itu, dua surau juga menerima sumbangan paparan LED.

Menurut beliau, setiap keluarga, yang terdiri daripada kumpulan asnaf, menerima sumbangan dalam bentuk pendawaian serta beberapa peralatan letrik seperti lampu dan kipas bernilai RM1,500.
“TNB juga memberi sumbangan kotak yang berisi keperluan makanan harian seperti minyak, tepung dan gula,” katanya kepada Suara Perak selepas melawat dua buah rumah di DUN Trong dan menyampaikan kotak makanan, pada Jumaat.

Hadir sama Pengurus Besar TNB Perak Datuk Raja Abd Jalil Raja Zaid dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Kamarudin Abu Bakar.

Menurut Zainol, sumbangan seumpama itu telah dimulakan dalam Permukiman di Daerah Larut Matang Selama (LMS) di Parlimen Larut sebelum ini.

Beliau memberitahu, melalui sumbangan, asnaf-asnaf terlibat tidak perlu membuat sebarang bayaran seperti deposit dan penyambungan.

“Semuanya termasuk di dalam sumbangan yang diberikan, hasil daripada zakat TNB,” jelasnya.

Sementara itu, Raja Abd Jalil berkata, kira-kira 15 kakitangan TNB telah terlibat dengan kerja-kerja itu yang bermula pada Selasa.

Penerima yang ditemui pula melahirkan rasa syukur kerana Permukiman MB telah benar-benar menyinari kehidupan mereka sekeluarga.

 

Rashidah Shafee, 44, dari Kampung Kelubong berkata, selama hampir 10 tahun dia terpaksa menggunakan letrik yang di sambung dari rumah abangnya.

“Syukur alhamdulillah dan terima kasih kepada semua yang membantu,” katanya yang tinggal berseorangan.
Bagi Shahuri Said, 30, sumbangan itu sangat bermakna kerana membantu meringankan beban kewangan suami yang bekerja sebagai nelayan.

“Selepas dapat sumbangan daripada Baitulmal, nampaknya rezeki kami sekeluarga tahun ini murah, alhamdulillah,” kata surirumah itu sambil memberitahu, sebelum ini mereka juga terpaksa menarik bekalan elektrik daripada rumah mertuanya.