KOTA BHARU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Lanas, Datuk Seri Mustapa Mohamed melakukan solat istikharah untuk meminta petunjuk sebelum menyertai Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Beliau berkata, keputusan itu bukan dibuat dalam tempoh sehari dua sebaliknya mengambil masa sebulan melalui pelbagai kaedah termasuk solat istikharah dan perbincangan dengan ahli keluarga.

“Dalam tempoh sebulan saya bangun jam 3 atau 4 pagi untuk solat istikharah mohon petunjuk sebelum buat keputusan ini.

“Saya juga berbincang dengan ahli keluarga, rakan dan tokoh tempatan. Saya bersyukur kerana mengambil tindakan tepat.

“Dalam politik kita kena berani ambil risiko walaupun bukan mudah nak berpisah selepas sekian lama bersama tetapi saya buat untuk rakyat Jeli dan Ayer Lanas,” katanya pada sesi rehat sidang Dun di Kompleks Kota Darul Naim di sini, Rabu.

Beliau menjadi tumpuan ahli dewan selepas dua hari tidak hadir sidang Dun Kelantan yang bermula kelmarin.

Mustapa menyertai Bersatu pada 26 Oktober selepas keluar dari Umno pada 18 September lalu. – Sinar Harian