POLIS menahan dua lelaki disyaki pengedar dadah dan merampas sepucuk pistol dalam serbuan di Kampung Mentara Baru, Merapoh, Lipis, semalam.

Dalam serbuan jam 4 petang, polis turut menemui 11 butir peluru hidup serta merampas 37.63 gram dadah jenis syabu.

Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, dua suspek berusia 30 dan 37 tahun yang juga penganggur ditahan untuk siasatan.

Katanya, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis menahan mereka yang ketika itu berada di hadapan rumah berkenaan.

“Pemeriksaan terhadap suspek berusia 30 tahun menjumpai dadah jenis syabu serta sebutir peluru hidup dalam beg silang yang dipakainya.

“Kita kemudian membuat pemeriksaan lanjut di dalam kereta Proton Satria dan menemui sepucuk pistol jenis Warsaw berwarna perak dengan sebutir peluru hidup di dalamnya,” katanya, hari ini.

Azry berkata, pihaknya turut menemui sembilan butir lagi peluru hidup dan satu kelongsong peluru yang disimpan di dalam stokin putih di dalam beg berkenaan.

Katanya, suspek lelaki berusia 37 tahun didapati memiliki empat rekod jenayah, manakala rakannya pula mempunyai tiga rekod jenayah termasuk dadah.

“Kedua-duanya dipercayai aktif mengedar dadah di kawasan Merapoh dan Gua Musang (Kelantan). Suspek lelaki berusia 30 tahun baru seminggu bebas dari penjara.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39A(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 serta Seksyen 8 Akta Senjata 1960,” katanya – hmetro