MARANG : Pas tetap tidak akan berganjak daripada pendirian agar Tun Dr. Mahathir Mohamad terus kekal sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak.

Persiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ini kerana, Dr. Mahathir adalah seorang pemimpin paling layak menggalas tanggungjawab itu dan bukan diserahkan kepada mereka yang terpalit dengan masalah peribadi.

Beliau menjelaskan, malah ramai sedia maklum Dr. Mahathir juga meruapakan seorang pemimpin yang diterima majoriti Ahli-Ahli Parlimen sama ada daripada UMNO, Pas atau sebahagian daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri.

“Bukan pemimpin yang ada masalah peribadi, dengan sebab itulah pada kita biarlah Tun (Dr. Mahathir) pimpin lagi (jadi Perdana Menteri). Biar beliau sendiri kendalikan urusan ini dan perlu seorang PM yang boleh diterima majoriti Ahli Parlimen.

“(Sedangkan) Anwar, parti dia sendiri pun (PKR) tak terima dia, ini macam mana? Pecah dua dan sebahagian (ahli dan penyokong) PKR terima dan sebahagian lagi tidak.

“Macam Tun (Dr. Mahathir) UMNO dan Pas boleh terima, sebahagian daripada pKR boleh terima dan kita lihat majoriti Ahli Parlimen dengan Tun. Sebab itu alasan kita, Tun terus kekal sebagai PM, bukan alasan tidak berpijak,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menyatakan perkara itu ketika ditemui pemberita di kediamannya sejurus selesai menyampaikan Kuliah Jumaat di Masjid Rusila dekat sini hari ini.

Abdul Hadi diminta mengulas keyakinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu diwawancara Bloomberg kelmarin bahawa beliau optimis bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia kelapan, tahun depan.

Abdul Hadi seterusnya mengakui penolakan Pas terhadap Anwar sebagai Perdana Menteri adalah atas faktor kurang yakin dengan ketokohan pemimpin terbabit sedangkan Dr. Mahathir telah dipilih oleh rakyat untuk memikul tanggungjawab itu.

“Bagaimanapun terpulanglah kepada dia (Anwar), cita-cita dia (jadi Perdana Menteri) tak apalah. Kita serah pada. Dia dengan dia manakala kita pula dengan pendirian kita agar Tun terus pegang jawatan (PM) sampai habis penggal,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE