LENGGONG – Wakil rakyat BN di Lenggong tidak akan lari dari perjuangan membela rakyat kerana mereka bukan saja anak tempatan, malah mempunyai rumah dan keluarga di sini, berbeza dengan calon pembangkang yang datang lima tahun sekali ke Lenggong.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Lenggong, Datuk Mohd Tarmizi Idris berkata, rakyat seharusnya menolak mana-mana calon lompat yang bertanding di dua kawasan berbeza dalam PRU13 dan PRU14.

Menurutnya, wakil rakyat sebegitu tidak dapat membantu rakyat kerana mereka tiada di kawasan, hanya datang lima tahun sekali kemudian pulang semula ke tempat asal mereka.

“Mana mungkin rakyat di tempat yang mereka wakili itu akan mengenali mereka. Jadi, wakil rakyat yang menetap di kawasan lebih baik kerana kita tahu isu tempatan dan kita tahu sesetengah isu tidak boleh diselesaikan dalam masa singkat.

“Ada yang boleh kita selesaikan dalam tempoh sebulan, setahun atau dua tahun. Kadangkala, perlu masa lebih panjang. Jadi kalau kita berada di kawasan, kita tetap perjuangkan isu itu dan ia boleh diselesaikan kerana usaha berterusan.

“Tapi kalau datang sekali dalam lima tahun, tak boleh buat apa. Saya cakap begini berdasarkan pengalaman sendiri, sudah tiga penggal saya menjadi wakil rakyat. Isu tanah dan pembangunan, ia ambil masa lama untuk diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata, wakil rakyat juga perlu selalu berada di kawasan bagi memudahkan proses perbincangan samada melibatkan rakyat, agensi tempatan atau pihak berkuasa yang berkenaan.

“Jadi janganlah datang, bila menang, terus duduk luar. Pada saya, Adun dan Ahli Parlimen harus berada di kawasan. Macam kami di Lenggong, saya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Saarani Mohamad ada rumah dan keluarga di sini.

“Jadi, tak mungkin kami lari dari perjuangan membela rakyat,” katanya ketika menghadiri jamuan rakyat bersama penduduk di Kampung Air Jada, semalam.

Mengambil contoh Dun Kenering, beliau berkata, BN membuat keputusan dengan memilih calon anak tempatan dan menolak calon yang bertukar-tukar kerusi dalam pilihan raya disertai.

“Berdasarkan situasi di Kenering, saya lihat pengundi di sini mahukan pemimpin mereka berada di kawasan. Untuk PRU14 ini, calon yang bertukar-tukar kerusi harus ditolak pengundi.

“Kita dapat lihat kalau calon itu berasal dari tempatnya bertanding, dia akan ada penyokong setia dan pengundi meletak harapan kepada calon itu untuk menang kerana mereka yakin calon itu akan berkhidmat untuk rakyat selepas pilihan raya tamat,” ujarnya – sinar

BERITA BERKENAANCalon Wanita Mesti Menang