IPOH 25 Mac – Dua anggota dari Balai Polis Pekan Baru di sini menerima sijil penghargaan kerana mempertahankan integriti dengan menolak rasuah tahun lalu.

Sijil penghargaan tersebut disampaikan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) negeri, Senior Asisten Komisioner Mohamad Laham sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke-212 di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Koperal Mohd. Fitri Lasim, 34, dan rakan setugasnya, Konstabel Nor Azrin Mohd. Zainal, 22, menolak rasuah sebanyak RM60 yang ditawarkan dua lelaki warga Myanmar semasa mahu mengambil tindakan terhadap mereka atas kesalahan lalu lintas, Disember lalu.

Dalam kejadian pada pukul 9.45 pagi di persimpangan lampu isyarat di Jalan Sultan Iskandar ke Jalan Dato Onn Jaafar itu, kedua-dua anggota polis tersebut cuba disogok sebanyak tiga kali oleh dua lelaki yang merupakan pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Menurut Mohd. Fitri, sebagai anggota polis, dia sentiasa berpegang kepada amanat kepimpinan tertinggi pasukan beruniform itu agar sama sekali tidak terjebak dalam amalan rasuah.

Malah katanya, pesanan yang kerap dilontarkan Ketua Polis Balai Pekan Baru, Mohd. Marei Sujari semasa taklimat tugasan agar menolak sebarang bentuk sogokan juga menjadi ‘pendinding’ kepadanya untuk menolak suapan tersebut.

“Kami bekerja dengan ikhlas untuk masyarakat dan tidak peduli apa juga pandangan negatif mereka. Mungkin ada segelintir (anggota) yang terlibat namun jangan melihat kesemuanya sama,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Nor Azrin berkata, sijil penghargaan yang ditandatangani sendiri oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun itu disifatkan amat bermakna kerana diterima pada hari lahirnya.

“Saya baharu setahun dua bulan bertugas sebagai anggota polis dan pengalaman ditawarkan sogokan ini membuatkan saya terkejut namun atas dasar integriti, kami menolak sogokan itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE