BIDOR – Seramai 26 remaja diarahkan menolak motosikal mereka sejauh tiga kilometer (KM) kerana dikesan melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas dalam satu Ops Samseng Jalanan di sini, Ahad lalu.

Operasi yang diadakan sekitar kawasan Bidor kira-kira jam 5 petang itu dijalankan oleh pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah, Balai Polis Bidor, Trafik, Unit Rondaan Bermotosikal dan Narkotik.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, kumpulan remaja itu ditahan pihaknya kerana sering melakukan kesalahan lalu lintas termasuk berlumba haram selain menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk setempat.

Menurutnya, operasi yang bermula pada jam 5 petang hingga 10 malam itu dilakukan selepas mendapat aduan orang ramai.

“Polis mengarahkan remaja berusia 15 hingga 21 tahun itu menolak motosikal masing-masing ke Balai Polis Bidor sebagai pengajaran dan peringatan kepada mereka agar tidak mengulangi kesilapan sama.

“Dalam operasi itu juga, polis turut mengeluarkan 71 saman kepada pengguna jalan raya yang melakukan pelbagai kesalahan termasuk 21 saman kerana tiada lesen memandu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Som Sak berkata, sebelum tangkapan dilakukan, pihak polis turut melakukan intipan bagi mengenal pasti laluan utama yang digunakan kumpulan remaja berkenaan.

Katanya, antara kesalahan mereka ialah tidak memakai topi keledar, cukai jalan tamat tempoh dan tiada lesen memandu.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya mengambil tahu pergerakan anak-anak mereka agar tidak terjebak dalam aktiviti lumba haram.

“Ibu bapa boleh dikenakan tindakan kerana membenarkan anak di bawah umur menunggang motosikal tanpa lesen,” katanya.

-Sinarharian