IPOH 12 Nov. – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria meminta kerajaan tidak melayan dan menolak desakan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Menurutnya, jika dibiarkan untuk dipolemikkan atas apa jua tujuan, ia akan mengundang rasa tidak puas hati dan perpecahan yang ketara antara kaum di negara ini.

Beliau berkata, cadangan ratifikasi ICERD akan menafikan kesepakatan kontrak sosial yang sudah lama dipersetujui antara kaum di negara ini sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

“Kerajaan didesak bertanggungjawab memelihara amanah ummah agar mempertahankan keluhuran perlembagaan yang telah disepakati lebih 50 tahun lalu.

“Adalah menjadi satu keperluan bagi rakyat Perak yang telah mengecapi kemakmuran mempertahankan kedaulatan negara daripada sebarang anasir dalaman dan luaran yang berhasrat menggugat keamanan negara ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Menurut Harussani, kesepakatan kontrak sosial telah menatijahkan kejayaan setiap kaum dan etnik terhadap peranan masing-masing dalam kemajuan negara yang mana semangat yang ditonjolkan adalah hasil daripada ketinggian dan keluhuran perpaduan kaum yang diikat dan dimeterai dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, peranan Bumiputera Melayu Islam sebagai penduduk asal di negara ini diperakui berasaskan catatan sejarah sebagai satu bangsa yang sentiasa menyanjung tinggi nilai toleransi dan kesantunan bermasyarakat.

“Sikap menolak diskriminasi terhadap kaum-kaum lain dengan menerima kedatangan mereka ke negara ini sebagai bukti layanan yang terhasil daripada nilai dan budi kaum Bumiputera Melayu Islam.

“Sikap yang dizahirkan ini adalah lahir daripada kesepaduan iman, amal dan adat tradisi ketimuran diasuh, disemai dan dididik oleh agama dan nilai budi Melayu supaya menghormati nilai kemanusiaan walaupun berbeza bangsa, kaum, bahasa, budaya dan adat resam,” katanya.

Tambah Harussani, sesuatu yang tidak boleh disangkal bahawa hasil daripada sikap toleransi tersebut, maka adalah wajar kedudukan Agama Islam dan ketuanan Melayu seperti yang telah disepakati terutamanya Perkara 3(1) dan 153 Perlembagaan Persekutuan tidak sepatutnya dipertikaikan dan dicabar.

“Hal berkenaan sudah disepakati secara bersama dan bijaksana oleh pemimpin terdahulu dengan mengambil kira kepentingan semua kaum,” katanya. – UTUSAN ONLINE