BUTTERWORTH: Keluarga Moey Yun Peng, 20, mangsa kemalangan maut selepas kenderaannya terjunam dari Jambatan Pulau Pinang ke laut, Ahad lalu memohon semua pihak berhenti menyebarkan gambar serta video kemalangan terbabit.

Abang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Dennis, menggesa semua pihak memahami keadaan mereka yang terpaksa berdepan dengan kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata.

“Saya mohon kepada semua pengguna laman sosial supaya menghentikan penyebaran gambar berserta video dan memadamkan perkara tidak baik mengenai mendiang dengan serta merta bagi menghormati perasaan kami sekeluarga,” katanya.

Tambah beliau, walaupun sedih, mereka sekeluarga menerima apa yang sudah ditakdirkan dengan merayu gambar dan video yang tidak sepatutnya disiarkan dapat dipadamkan demi menjaga perasaan serta sensitiviti keluarga.

“Pemergiannya dalam keadaan seperti itu memberi tamparan besar buat kami tetapi apa yang boleh kami buat kerana itu sudah berlaku dan perlu menerimanya.

“Cuma apa yang kami minta, tolonglah jaga imej mendiang dengan menghentikan menyebarkan gambar dan videonya dalam keadaan seperti itu kerana ia turut melukakan hati kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di perkarangan rumah ahli keluarga mendiang dekat Taman Kempas, di sini, hari ini.

Yun Peng maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya terhumban ke dalam laut dari Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang pada jam 2.54 pagi Ahad lalu.

Kejadian dikatakan berlaku apabila SUV jenis Mazda CX-5 yang dipandu mendiang hilang kawalan selepas berlanggar dengan sebuah kereta lain jenis Toyota Vios ketika pulang menyambut hari lahir rakannya.

“Kami sekeluarga menyerahkan segala-galanya kepada pihak polis untuk menyiasat dan meminta orang awam tidak mengganggu siasatan dengan pelbagai spekulasi yang dibuat.

“Biar polis jalankan kerja mereka untuk menentukan hukuman kepada individu yang menyebabkan kemalangan ini berlaku,” katanya.

Beliau turut menzahirkan perasaan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dan memohon maaf kepada pengguna jalan raya yang terpaksa menempuh kesesakan luar biasa sepanjang operasi menyelamat adiknya dilakukan

“Terima kasih kepada semua pihak termasuk agensi keselamatan yang bertungkus lumus dalam operasi mencari dan menyelamat mendiang yang mana ia satu usaha murni yang begitu dihargai kami,” katanya.

Dalam pada itu, Dennis berkata sambutan Tahun Baharu Cina yang akan diraikan masyarakat Tionghua beberapa minggu lagi tidak akan disambut keluarga itu kerana dalam tempoh berkabung.

“Kami baru menghias rumah untuk menyambut perayaan itu tetapi bila dah berlaku perkara menyedihkan seperti ini maka tiada sambutan bagi menghormati pemergian mendiang.

“Apatah lagi, ini kali pertama mendiang tidak dapat meraikan perayaan ini bersama-sama kami sampai bila-bila dan ia begitu menyakitkan apabila mengingatinya,” katanya yang menyifatkan mendiang adiknya seorang anak yang baik dan menghormati ibu bapa.

Upacara pengebumian Yun Peng yang juga penuntut sebuah kolej swasta, akan diadakan di Tanah Perkuburan Cina Berapit esok.

Wakil NSTP yang berada di perkarangan rumah mangsa sejak jam 10 pagi mendapati kediaman itu hanya dikunjungi beberapa ahli keluarga dan sanak saudara sebelum mereka beredar – berita harian