MELAKA: Jemaah Masjid As Syakirin, Pasir Puteh, Bachang, di sini, dikejutkan dengan penemuan mayat bayi lelaki berbalut kain putih di ruang solat wanita, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, jemaah wanita yang mahu dikenali sebagai Zainon, 50, awalnya menyangka bungkusan berkenaan adalah telekung.

“Saya tiba di masjid kira-kira jam 5.40 pagi dan ternampak bungkusan kain batik berbalut tuala mandi putih tetapi tidak mengendahkan kerana menyangkakan ia adalah telekung.

“Selesai solat, seorang daripada jemaah wanita yang mahu berkemas terpegang bungkusan itu.

“Ketika diangkat, ada kesan basah akibat darah dan perkara itu dimaklumkan kepada jemaah lelaki,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Sebaik bungkusan dibuka, katanya, jemaah terkejut apabila mendapati tubuh bayi yang sudah kebiruan bersama sekeping nota di dalamnya.

Zainon berkata, ia kali pertama kejadian sedmikian berlaku di situ dan berharap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dapat membantu mengesan individu bertanggungjawab.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, berkata seorang suspek wanita berusia lingkungan 20-an dipercayai ibu bayi lelaki itu ditahan di rumahnya di Lorong Haji Nyonya, Kampung Pasir Puteh, Bachang, kira-kira jam 2 petang tadi.

Katanya, nota ditemui bersama mangsa antara lain menyatakan bayi berkenaan dilahirkan pada 13 April lalu dan pihak yang menemuinya diminta menyempurnakan jenazah.

“Bayi itu dipercayai meninggal kira-kira dua jam sebelum ditemui berdasarkan fizikalnya yang belum mengeras.

“Pemeriksaan pada tubuh bayi mendapati ia masih bertali pusat, ada kesan darah pada hidung, lebam kehitaman di muka dan badan.

“Bedah siasat akan dilakukan esok bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan – Berita harian