Johor Bahru: Saksi bebas kes kemalangan maut membabitkan lapan penunggang basikal di Jalan Lingkaran Dalam di sini, Sabtu lalu, diminta tampil membantu siasatan dan bukannya memuat naik status di laman sosial yang boleh mengganggu siasatan polis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dan belum menentukan pihak mana bersalah, malangnya banyak pihak memuat naik pelbagai status berbentuk menghasut dan membenci hingga mengganggu siasatan.

Katanya, dakwaan yang tular di media sosial kononnya pemandu wanita berusia 22 tahun seorang anak kenamaan dan mempunyai sembilan saman adalah tidak berasas dan hanya boleh menggugat ketenteraman awam.

“Hentikan kenyataan berbentuk fitnah atau berdepan tindakan tegas.

“Kami menjalankan siasatan dengan telus dan terperinci bagi mendapatkan kebenaran, ia adalah hak kedua-dua pihak.

“Jika benar ada saksi di luar sana, datang ke balai polis dan buat laporan… bantu kami jalankan siasatan bukannya muat naik status tidak berasas,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

-myMetro