KERIAN – Taktik seorang tomboi menyamar sebagai pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal bagi melakukan jenayah curi akhirnya dipatahkan pihak polis selepas ditangkap 3 Ogos lalu.

Malah wanita berperwatakan lelaki ini menyamar menjadi pegawai lelaki dari JKM atau Baitulmal sejak 2010 menggunakan modus operandi sama di beberapa kawasan seperti Pulau Pinang, Bandar Baru dan Kulim, Kedah, serta Perak Tengah dan Selama, Perak.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superitendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, suspek ditahan di kediamannya di Kampung Air Kuning, Changkat Jering pada 3 Ogos lalu sekitar jam 2 petang selepas satu laporan polis dibuat oleh seorang wanita yang ditipu suspek 27 Jun lalu di Simpang Empat, Semanggol.

“Pihak polis kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut di dalam sebuah beg pinggang yang dipakai suspek dan menemui 18 keping kad ATM pelbagai jenis bank, enam keping mata wang asing dan dua batang anak kunci motosikal.

“Kita juga merampas tiga kopiah putih dan satu songkok berwarna hitam di dalam bilik tidur suspek yang dipercayai digunakannya untuk menipu mangsa,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambahnya, siasatan lanjut mendapati suspek berpakaian seperti seorang lelaki bagi mengaburi mangsanya dan memperkenalkan diri sebagai pegawai JKM atau Baitulmal.

“Dia kemudiannya meminta mangsa membuka semua barang kemas dan menukar pakaian yang menampakkan mangsa layak menerima bantuan daripada pihak JKM.

“Semasa mangsa sedang menukar pakaian suspek akan melarikan diri bersama barang kemas dan wang tunai milik mangsa,” katanya.

Menurut Omar Bakhtiar, setakat ini pihak polis berjaya mengesan 61 laporan dibuat oleh mangsa-mangsa yang melibatkan modus operandi sama dilakukan oleh suspek sejak 2010 membabitkan nilai kerugian dianggarkan RM165,000.

“Daripada 61 laporan sebanyak 15 kertas siasatan telah dibuka dan disiasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri dalam rumah kediaman dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamari penjawat awam,” katanya – sinar