KUALA LUMPUR : Lima belas buah tong hitam yang dipercayai mengandungi bahan kimia sodium sianida dalam bentuk pepejal ditemui di ladang kelapa sawit di Karak, Bentong dekat Kuantan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Perladangan dan Bioteknologi Pahang Mohd Sharkar Shamsuddin berkata pihaknya dimaklumkan mengenai perkara itu oleh orang awam pada Khamis lepas.

“Jabatan Alam Sekitar dan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat telah dikerahkan ke lokasi untuk memeriksa dan mengambil sampel untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi pengesahan.

“Pemberitahuan di tong mengatakan ia mengandungi sodium sianida yang merupakan bahan kimia yang digunakan dalam perlombongan emas iaitu bagi tujuan mencuci bahan galian itu,” katanya semasa dihubungi di Kuantan, hari ini.

Mohd Sharkar berkata siasatan mendapati bahan kimia itu dalam keadaan pepejal dan tiada kewujudan wap gas sianida di kawasan itu, walaupun sifat bahan kimia itu akan mengeluarkan gas jika bertindak balas dengan air.

Susulan penemuan itu, Mohd Sharkar berkata pihak terlibat termasuk polis membuat pemeriksaan terhadap sebuah lombong emas yang beroperasi di Kampung Cinta Manis, Bentong.

Katanya, pihaknya juga telah membuat permohonan berhubung status lombong emas itu di Pejabat Tanah dan Daerah Bentong dan siasatan lanjut akan dilakukan untuk mengetahui jika tong tersebut berasal dari situ.

“Setakat ini, kita menunggu jawapan pejabat tanah dan analisis Jabatan Kimia sebelum mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.

 

-BERNAMA