KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau amat berpuas hati dengan persiapan UMNO Perak untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

Menurut Ahmad Zahid, beliau telah membuat naziran dan pemantauan di seluruh negara untuk meninjau kesiapsiagaan jentera.

“Saya telah buat naziran dan pemantauan, saya amat puas hati dengan kesiapsiagaan Perak,” katanya ketika berucap di majlis Makan Malam Perhubungan UMNO Negeri Perak sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Hotel Pan Pacific di sini, malam ini.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, dua mantan Menteri Besar, Tan Sri Ramli Ngah Talib dan Tan Sri Tajol Rosli Ghazali serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Ahmad Zahid turut memuji kesepaduan UMNO Perak yang diyakini akan beri kejayaan dalam PRU14.

tpm_puashati 3

Bagaimanapun, beliau berharap ahli-ahli dan kepimpinan UMNO di negeri itu supaya tidak membiarkan Menteri Besar keseorangan, sebaliknya semua pihak mesti bersama-sama untuk mempastikan kemenangan dalam PRU14.

Menurutnya, walaupun hari ini cukup bersejarah kerana telah memasukkan pindaan usul agar Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, tetapi beliau tetap istiqamah dan menghormati Dr Zambry.

“Diharapkan ahli-ahli UMNO di Perak terjemahkan istiqamah untuk memberi seluruh ketaatan dan wala kepada Dr Zambry sebagai Pengerusi UMNO Perak,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Zambry berkata, UMNO Perak sentiasa menjadi contoh kepada negeri-negeri lain, khususnya dari segi kesepaduan dan kesepakatan.

Menurutnya, UMNO Perak juga sudah bersedia untuk menghadapi PRU14 dan bersedia untuk menghadapi sesiapa sahaja, khususnya DAP dan kepimpinannya.

“Inilah kekuatan kita di negeri Perak, kita akan lawan DAP, kita akan lawan orang-orang seperti Ngeh (Datuk Ngeh Koo Ham) dan Nga (Nga Kor Ming),” tegasnya sambil disambut tepukan penuh semangat oleh hadirin.