IPOH: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka akan menyertai program Permukiman Menteri Besar Perak di Daerah Bagan Datuk yang bermula esok sehingga Sabtu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dijadualkan menyertai lima program pada Jumaat dan Sabtu.

Menurut beliau, sebanyak 95 program telah diaturkan sepanjang lima hari program permukiman tersebut yang merupakan kali kelima selepas Daerah Hulu Perak, Kerian, Parlimen Larut dan Parlimen Bukit Gantang serta Taiping.

“Sebanyak 52 program akan diadakan di DUN Rungkup dan 43 program diadakan di DUN Hutan Melintang,” katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.

Saarani memberitahu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sendiri akan menghadiri 16 program yang telah diaturkan.

Beliau berkata, 76 program yang lain akan dihadiri oleh barisan kepimpinan kerajaan negeri atau wakil-wakil exco di seluruh Daerah Bagan Datuk yang baru sahaja diisytiharkan sebagai daerah ke-12 pada 9 Jan lepas.