IPOH: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menghadiri taklimat tertutup Mesyuarat Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak hari ini.

Taklimat itu diadakan di ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak sempena lawatan beliau ke negeri ini.

Kehadiran beliau kira-kira jam 3.45 petang tadi disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan.

Sebaik tiba, beliau memeriksa perbarisan kawalan kehormat bersama panji-panji dari Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 oleh seramai dua pegawai dan 105 anggota di perkarangan IPK ini.

Turut hadir, barisan ketua jabatan serta ketua-ketua polis daerah dari seluruh negeri Perak.

Pada majlis tersebut, Ahmad Zahid turut berkesempatan menandatangani buku pelawat selain beramah mesra bersama 500 anggota dan pegawai daripada seluruh kontinjen IPK Perak.

Sejurus tamat program tersebut, beliau terus menuju ke Pulau Pinang bagi program perasmian Bangunan UMNO Batu Kawan dan Majlis Makan Malam Sanjungan Budi Alumni 4B.