KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerima rawatan selepas menjalani pembedahan pada Ahad lepas di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Baru sahaja menziarahi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang selesai menjalani pembedahan bahu kanan di HKL baru-baru ini. Semoga beliau cepat sembuh,” kata Ahmad Zahid dalam catatan di Twitter dan Facebook.

Turut dimuat naik sekeping gambar timbalan perdana menteri dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis ketika melawat bekas ketua pembangkang itu.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor juga meluangkan masa melawat Anwar di HKL.

Pada 22 Sept lalu, Anwar, yang mendapat rawatan untuk masalah kesihatannya di HKL, terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan dari hospital berkenaan ke Penjara Sungai Buloh.

Anwar dilaporkan menjalani pembedahan artroskopi susulan kecederaan di bahu kanannya.

— BERNAMA