KUCHING: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) sebentar tadi bagi mengadakan lawatan kerja dua hari ke negeri ini.

Timbalan Perdana Menteri yang diiringi isteri, Datin Seri Hamidah Khamis, dijadual mengadakan kunjungan Tahun Baharu Cina di kediaman ahli perniagaan, Datuk Barry Tan di sini malam ini.

Esok, Ahmad Zahid dijadual mengadakan pertemuan tertutup bersama pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak.

Difahamkan, pertemuan itu bagi memperhalusi senarai calon BN Sarawak bagi 31 kerusi Parlimen di negeri ini yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, turut dijadualkan mengikuti taklimat pengurusan dan persediaan keselamatan pilihan raya di Ibu pejabat Polis Kontingen (IPK) Sarawak jam 10 pagi esok.

Beliau kemudian dijadualkan menghadiri majlis makan tengah hari sempena Tahun Baharu Cina di kediaman keluarga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Dr Sim Kui Hian, merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, di sini pada jam 11.30 pagi, sebelum berlepas pulang ke ibu negara – berita harian