Hutan Melintang: Gara-gara tidak berpuas hati dengan kualiti pembinaan dewan baharu sebuah sekolah, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengamuk ketika memberi ucapan perasmian di SMK Hutan Melintang, di sini pada Sabtu.

Ahmad Zahid yang hadir untuk merasmikan dewan baharu berharga RM600,000 itu ternyata tidak berpuas hati dengan kualiti bangunan yang dibina khas untuk kemudahan pelajar-pelajar sekolah berkenaan.

“Jangan hina orang Bagan Datuk, jangan hina SMK Hutan Melintang, saya tak puas hati, saya tidak akan pernah puas hati, RM600,000 macam ini ke?

“Saya akan minta Suruhanjaya Pecengahan Rasuah Malaysia (SPRM) siasat kenapa jadi begini, kalau ada penyelewengan ambil tindakan tidak kira kontraktor, konsultan apa sesiapa sahaja yang terlibat,” tegas beliau ketika berucap dalam majlis itu.

Tambah beliau lagi, bangunan yang diberi peruntukkan RM600,000 itu kelihatan seperti dibina dengan harga RM300,000 serta tidak menepati standard yang dikehendaki.

“Mentang-mentang kita orang kampung, jangan kita direndah-rendahkan, dengan mata kasar pun kita tahu. Saya tak mahu rakyat katakan Ahli Parlimen ambil duit, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ambil duit, kita tidak akan berkompromi.

“Jangan main-main dengan saya, walaupun saya duduk di atas tetapi saya tetap berpijak di bumi Bagan Datuk, saya tak boleh terima, rakyat Bagan Datuk tak boleh terima. Siapa agensi pelaksana, kontraktor jangan main-main, kalau RM600,000 mesti RM600,000 nilainya, jangan claim RM600,000 tetapi nilai sebenar ialah RM300,000,” ujarnya dengan nada tegas.

Tambah Timbalan Perdana Menteri itu lagi, beliau akan memberi tempoh selama tiga bulan untuk kontraktor terlibat untuk melakukan perubahan terhadap struktur dewan terbabit.

“Saya beri tiga bulan supaya lompong di sekitar dewan ini ditutup, saya mahu lantai simen ini diletak jubin, kipas juga peru kipas yang besar, saya mahu dewan ini juga lebih panjang daripada ini, jangan main-main dengan saya.

“Saya akan datang lagi, tak perlu kompang, tak perlu karpet merah dan tak perlu pelajar berbaris..saya akan datang secara mengejut tengok dewan ini lebih baik dari sekarang,” ujar beliau .

Ketegasan itu juga disambut dengan tepukan gemuruh dari ratusan tetamu yang hadir pada program berkenaan sebagai tanda setuju dengan perkara tersebut.