SUNGAI BESAR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyertai konvoi Kembara Bermotosikal Rayuan Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) dari destinasi pertama di Tanjung Karang ke Hutang Melintang, Perak.

Konvoi seramai 70 orang penunggang motosikal berkuasa tinggi itu dalam misi mengisi dana TAWP yang akan digunakan untuk membantu pesara dan bekas polis serta keluarga mereka.

Program itu yang diketuai oleh Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Zulkifli Abdullah, kemudian tiba di destinasi kedua di Sungai Besar sebelum meneruskan perjalanan ke Hutan Melintang, Perak.

FireShot Capture 233 - TPM sertai konvoi Kembara Bermotosika_ - https___www.bharian.com.my_berita_

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, konvoi selama tiga hari itu akan melalui empat negeri iaitu Selangor, Perak, Pahang dan berakhir di Negeri Sembilan.

“Ia bertujuan menambah dana bantuan kepada pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ahli keluarga mereka selain mengeratkan hubungan antara polis dan masyarakat serta mengajak masyarakat untuk bersama-sama menghargai mereka yang sudah berkorban menjaga keamanan dan kesejahteraan negara.

 

“Pesara dan bekas polis adalah aset penting kepada negara dan pasukan kerana golongan ini mempunyai ilmu pengetahunan dan pengalaman luas dalam bidang keselamatan dan pencegahan jenayah.

“Dengan adanya tabung ini lebih banyak aktiviti bersama dengan pesara polis akan dapat dirancang pada masa hadapan,” katanya pada ketika konvoi itu yang berlepas dari Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur tiba di destinasi pertama di Tanjung Karang hari ini.

Yang turut hadir Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar dan pemimpin tempatan.

Mazlan berkata, kehadiran dan penyertaan Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mencerminkan Kerajaan Persekutuan sentiasa mengambil berat hal ehwal kebajikan pesara serta bekas polis serta berusaha mencari ruang dan peluang untuk membantu mereka.

Sementara itu, sejumlah RM134, 000 berjaya dipungut di kedua-dua destinasi konvoi berkenaan termasuk sumbangan peribadi daripada Noh dan wakil rakyat setempat selain komuniti di kawasan terbabit.

Sementara itu, Noh ketika berucap, berkata jasa PDRM di Tanjung Karang sering dihargai.

Justeru, katanya, beliau sudah meluluskan peruntukan berjumlah RM1.6juta untuk membaiki kuarters polis di Tanjung Karang sebagai menghargai jasa polis.

Pada masa sama, Noh berkata langkah PDRM itu terpuji berikutan menghargai jasa anggota polis.

“Kita kena ucapkan terima kasih kepada mereka, kerana merekalah yang dahulu berjuang menjaga keamanan negara kita ini.

“Kepada PDRM dan bekas anggota polis, saya merayu supaya kita bersama-sama memberikan sokongan kepada Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri dna Datuk Seri Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri kita,” katanya – berita harian