Oleh: Nazialita Geynna Maharan

BAGAN DATUK: “Saya dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) mengalu-alukan mana-mana individu yang mempunyai niat bertanding di Bagan Datuk dan Pekan,”.

Demikian sindiran ringkas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ditanya mengenai pendiriannya berhubung cadangan bagi Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang meletakkan sasaran dua kerusi yang disandang dua pemimpin tertinggi negara sebagai kerusi pilihan untuk bertanding semasa Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Menurut Timbalan Perdana Menteri terdapat kemungkinan bahawa keputusan untuk bertanding di luar Selangor adalah didorong jangkaan penganalisis politik bahawa pembangkang akan gagal mempertahan kerusi yang dipegang ketika ini.

“Itu sebabnya (mereka) nak mencuba nasib untuk kawasan lain, dan kita tahu di kawasan yang beliau (Azmin) wakili itu banyak masalah yang menjadi rungutan rakyat sekian lama.

“Saya harap, sebelum berniat untuk berpindah kawasan sila lakukan pembaikan perkhidmatan terutama dari segi kemudahan-kemudahan asas kepada pengundi-pengundi yang diwakili,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas menyempurnakan Program Perasmian 3 Buah Pusat Internet Satu Malaysia (Bagan Datuk), Pusat Internet 1 Malaysia, Kampung Teluk Buloh, Hutan Melintang, dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak merasakan kenyataan Azmin mengenai cadangan pilihan kerusi itu satu perkara tidak serius.

“Kenyataan pemimpin ni mana boleh main-main, kita tahu…dia (Azmin Ali) main-main sahaja tu, dalam politik tidak boleh main-main,”ujarnya lagi.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Gombak merangkap Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), dilaporkan sedang membuat pertimbangan untuk bertanding di kerusi Parlimen Bagan Datuk yang kini disandang oleh Timbalan Perdana Menteri.

Beliau turut diuwar-warkan mengintai kerusi Parlimen Pekan yang kini disandang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.