PARIT BUNTAR – Lebih 50 bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panglima Bukit Gantang, di sini, bagi sesi alumni 86-90 hadir menjayakan majlis pertemuan semula yang diadakan sempena cuti perayaan Hari Raya Aidiladha, tahun ini.

Meneruskan tradisi sejak kali pertama diadakan pada 2016, program “reunion’ kali ketiga ini juga berlangsung dengan meriah di sebuah restoran tempatan di sini, bermula jam 2 petang hingga 6 petang baru-baru ini.

Lebih manis, penganjuran program reunion alumni sekolah terbabit bukan sahaja diserikan dengan tiga bekas guru yang berjasa, malah turut dirasmikan sendiri oleh Exco Kerajaan Negeri, Abdul Yunus Jamhari yang juga bekas alumni pelajar sekolah terbabit.

Koordinator program, Azman Ali,45, berkata, penganjuran program reunion kali ketiga merupakan rentetan daripada kejayaan pelajar alumni bagi sesi 86-90 mengumpulkan seberapa ramai bekas pelajar dan menganjurkan program reunion terdahulu.

Menurutnya, jumlah kehadiran pada majlis perjumpaan semula buat kali ketiga itu agak memuaskan meskipun berdepan dengan kekangan masa kerana diadakan pada musim perayaan.

“Majlis kali ini juga dimeriahkan dengan kehadiran dua bekas guru kami, Cikgu Zaharah Don, Cikgu Samsuddin Abdul Rahman dan Cikgu Fairus Ahmad Tahir.

“Kami juga turut berbangga seorang bekas pelajar alumni batch kami yang kini bergelar Exco Kerajaan Negeri Perak, Abdul Yunus sudi hadir untuk memeriahkan program dan menyampaikam sumbangan kepada pihak alumni,” katanya kepada media pada majlis reunion bekas pelajar SMK Panglima Bukit Gantang, baru-baru ini.

Sementara itu, Abdul Yunus sewaktu ditemui teruja dapat bertemu semula dengan bekas guru dan rakan sekolah walaupun tidak bertemu dengan kebanyakan mereka lebih 20 tahun lalu.

“Saya turut bersyukur dikurniakan guru yang sangat dedikasi dan komited mengajar anak bangsa sewaktu kami di SMK Panglima Bukit Gantang dahulu,” katanya – sinar