SIMPANG PULAI: Kemeriahan Tahun Baru Cina 2017 turut dirasai oleh pengunjung Pusat Rekreasi Lubuk Timah (PRELUT) apabila pelbagai program diadakan, khusus bagi sambutan perayaan kaum Tionghua itu. 

Tinjauan Suara Perak mendapati kawasan kolam air panas serta pusat riadah keluarga itu dikunjungi lebih 1,000 pengunjung yang turut mengambil kesempatan cuti sekolah.

Peluang untuk bermandi manda di kawasan pelancongan terkemuka itu turut dikongsi bersama oleh Ketua Pemuda UMNO Negeri Perak, Mohd Khairul Shahril yang datang bersama seisi keluarganya. 

Menurutnya, beliau cukup kagum dengan kemudahan yang disediakan oleh PRELUT khusus bagi warga Perak, dengan harga yang berpatutan.

“Inilah kali pertama saya datang ke sini, namun saya amat gembira dan teruja dengan persekitaran sedia ada di Lubuk Timah ini kerana selain jalan raya yang telah diperbaiki, mereka turut memberikan ruang buat kanak-kanak untuk berseronok seperti  “fun house”, menaiki kuda, airwheel dan pertandingan karaoke buat orang ramai. 

“Selain itu, saya mencadangkan pusat yang terletak di lokasi strategik ini, yang hanya 15 minit dari Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) untuk terus dikomersialkan sebagai salah satu lokasi wajib dalam kalender Tahun Melawat Perak 2017,” katanya ketika ditemui Suara Perak pada petang Ahad. 

Sementara itu, Pengarah Urusan PRELUT, Fadzil Akma Mohd Yusoff berkata, acara tahunan seperti Tarian Singa dan pemberian angpow merupakan rutin yang telah dilakukan sejak pembukaan pusat rekreasi itu kepada orang ramai. 

“Kalau kita ingat dahulu sewaktu masih kanak-kanak, setiap kali terdengar bunyi gendang Cina, kita pastinya berasa teruja dan merasa seperti sebahagian daripada perayaan jiran tetangga berbangsa Tionghua.

“Sebab itulah kami ingin mengekalkan budaya itu, walaupun kita berlainan etnik, namun biarlah kemeriahannya dirasai semua rakyat Malaysia, apatah lagi ramai keluarga dan pengunjung datang ke Lubuk Timah pada hujung minggu ini,” katanya.

Kehadiran Tarian Singa dan aneka hiasan Cina di PRELUT turut menceriakan pengunjung, khususnya kanak-kanak yang tidak melepaskan peluang bergambar bersama simbol kekayaan dan kemewahan Tahun Baru Cina itu.