KUALA KANGSAR: Mahkamah Majistret di sini membenarkan tahanan reman selama dua hari bermula hari ini, terhadap pemandu treler yang dipercayai merempuh sebuah kereta hingga mengakibatkan lima individu rentung dalam kemalangan di kilometer 255.1 Lebuhraya Utara-Selatan, Sabtu lalu.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Noorhidayah Mohd Saad di Mahkamah Majistrert Kuala Kangsar pada Isnin.

Pemandu treler berusia 41 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Semalam Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuala Kangsar mengesahkan suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Bagaimanapun tiada rekod jenayah lampau dikesan menerusi nombor kad pengenalan suspek.

Sebelum ini, media melaporkan kejadian pada jam 11.47 pagi itu melibatkan lima mangsa, termasuk seorang bayi yang belum dikenalpasti identiti ditemui rentung selepas kereta jenis Kia Forte dinaiki dirempuh treler di lorong kanan lebuh raya.

Susulan kejadian itu, treler itu merempuh tiga kereta di lorong kanan namun Kia Forte yang dinaiki lima mangsa terhimpit di antara penghadng jalan konkrit dan treler itu sebelum terbakar.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim, keputusan ujian DNA bagi membuat pengecaman kelima-lima mangsa mungkin diperoleh sekurang-kurangnya dalam tempoh empat hari.