KUALA LUMPUR : Tiga puluh empat tahun sudah berlalu, namun peristiwa hitam yang dilalui penduduk Kampung Memali di Baling Kedah masih segar dalam ingatan.

Rata-rata penduduk berpendapat insiden yang berlaku pada tanggal 19 Nov 1985 itu bukan isu kecil dan tidak mudah dilupakan.

Bagi Mat Isa Abdul Rahman, 47, amat mustahil melupakan kejadian itu lebih-lebih lagi apabila ia mengorbankan bapanya sendiri.

“Tragedi pahit kita tak akan lupa. Ia akan kekal dalam ingatan kami. Kalau kata kita lupa (tragedi) itu, saya bodohlah.

“Sebab dalam kejadian itu, arwah ayah saya menjadi mangsa sekali. Tetapi kita nak dendam pun setakat mana? Islam mengajar kita supaya tak berdendam tetapi salah tetap salah,” katanya

Bagaimanapun Mat Isa berkata isu itu cuba ditimbulkan semula untuk memecahbelahkan penyatuan ummah antara PAS dan Umno.

“Itu politik, saya fikir itu hanya propaganda politik PH untuk pecah belahkan Umno-PAS,” katanya.

Peristiwa Memali bermula apabila pihak polis cuba menahan tokoh agama, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya di bawah Akta Keselamatan Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa menyebarkan ajaran sesat.

Insiden yang berlaku di Kampung Charok Putih Siong itu mengorbankan 18 orang – termasuk 14 ahli dan penyokong PAS serta mencederakan berpuluh-puluh yang lain.

Manakala beratus-ratus orang ditahan di bawah ISA.

Dr Mahathir Mohamad pada masa itu merupakan perdana menteri, manakala timbalannya ialah Musa Hitam yang juga Menteri Dalam Negeri.

Isu Memali kembali mencuri tumpuan baru-baru ini apabila Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan menjelaskan partinya kini menganggap tragedi itu sebagai “kecil” dengan adanya kerjasama politik dengan Umno.

Takiyuddin berkata demikian ketika ditanya mengenai penerimaan keluarga mangsa Memali terhadap penyatuan kedua-dua parti itu.

‘Mahathir sangat jahat’

Bagi balu allahyarham Ibrahim Libya, Solehah Husain, 66 sehingga kini beliau masih tidak dapat memaafkan Mahathir kerana peristiwa berdarah itu.

“Mak cik tak boleh cerita pasal perkara ini. Bila cerita mak cik akan sedih dan sangat sedih.

“Balu-balu mangsa tragedi Memali memang tak berpuas hati dengan apa yang berlaku dan kami rasakan Mahathir sangat jahat,” katanya ketika dihubungi¬†Malaysiakini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Memali PAS Kedah, Muhamad Yusof Husin berkata tragedi hitam itu tetap merupakan suatu sejarah yang tidak boleh dilupakan.

Namun katanya, Himpunan Penyatuan Ummah yang berlangsung pada 13 dan 14 September lalu melibatkan agenda lebih besar untuk menyelamatkan Malaysia, Islam dan orang Melayu yang wajar disokong.

“Penyatuan yang berlaku itu adalah perpaduan untuk umat Islam dan demi negara, memandangkan suasana politik sekarang ini.

“Jadi ia satu agenda besar yang dilakukan pimpinan (PAS dan Umno) untuk penyatuan orang Melayu, untuk pembelaan agama Islam dan untuk rakyat secara keseluruhan, termasuk lain-lain kaum,” katanya lapor MalaysiaKini