Oleh: Shafiq Noordin

BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan tiada pihak yang akan terlepas sekiranya wujud perbuatan khianat dalam tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Khamis lalu.

Beliau berkata, Jabatan Forensik dan Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang meneliti dan menyiasat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari pejabat Pesatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang didakwa menunjukkan ada kelibat individu di sekitar tahfiz berkenaan sebelum kejadian.

“Forensik dan JSJ sedang teliti rakaman yang diperolehi dari pejabat PPIM itu yang merupakan jiran kepada tahfiz berkenaan, serahkan sepenuhnya kepada PDRM.

“Insyaallah jika ada suspek melakukan perbuatan jenayah, individu itu atau sesiapa sahaja di belakang insiden itu tidak akan terlepas, saya beri jaminan.

“Walaupun kita berbeza pendapat atau berbeza pandangan atas kepentingan tertentu tetapi soal nyawa tidak ada batas, kita tidak harus menggunakan kehidupan anak-anak ini sebagai bahan untuk bayar harga perbezaan pendapat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Kesihatan Pergigian Warga Kolej Komuniti Peringkat Kebangsaan 2017 di sini pada Sabtu.

Beliau juga menggesa orang ramai untuk tidak menimbulkan sebarang spekulasi dan menularkan rakaman yang diperolehi dari PPIM itu di media sosial kerana ia hanya akan menganggu siasatan.

“Saya mohon orang ramai jangan buat spekulasi, apatah lagi tularkan bahan-bahan diperolehi oleh PPIM berkenaan untuk dianalisa mengikut pandangan masing-masing,” tegas beliau.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut meminta pusat tahfiz atau sekolah agama di negara ini untuk melengkapkan institusi masing-masing dengan peralatan kecemasan mencegah kebakaran serta merta manakala bagi yang tidak mampu membuat permohonan kepada pihak berwajib.

“Saya secara peribadinya amat-amat berharap agar perkara ini tidak diulanginya dan kita harus mencegahnya daripada awal, untuk pihak menguruskan sekolah-sekolah ini tolong lah ikuti piawaian yang disediakan,” ujarnya.