JITRA: “Bunyi rempuhan sangat kuat, ketika itu saya nampak pondok tol sudah remuk dirempuh lori, namun tak pasti nasib jurutol di dalamnya.

“Mujur tidak lama kemudian, jurutol keluar dalam keadaan selamat,” kata seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Johan, 30-an, yang menyaksikan kemalangan di Plaza Tol Jitra di sini, petang semalam.

Johan berkata, ketika kemalangan, beliau berada selang dua pondok tol dan tiada kenderaan lain berada di kawasan berhampiran.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, jurutol, Jamil Ahmad, 52, nyaris maut selepas sebuah lori yang membawa muatan traktor merempuh pondok tol paling kiri tempat dia bertugas.

Bagaimanapun, mangsa bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata berdasarkan siasatan awal, kemalangan berpunca apabila muatan lori berkenaan gagal melepasi lorong tol menyebabkan berlaku rempuhan pada pondok tol berkenaan.

“Laporan polis sudah dibuat dan pemandu lori berusia 39 tahun turut tampil membantu siasatan.

“Setakat ini kes disiasat mengikut Peraturan 19 LN 166/59 (muatan jatuh dari atas kenderaan),” katanya dalam kenyataan hari ini – berita harian