KUALA LUMPUR : Transaksi tol menerusi Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) Touch ‘n Go akan dilaksanakan di 10 plaza tol sistem terbuka di lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Bhd (PLUS), mulai Rabu ini.

Pendekatan bagi memberikan lebih pilihan kepada pelanggan untuk membuat pembayaran itu akan dibuka kepada semua kereta persendirian, kelas 1 iaitu kenderaan ringan dengan dua gandar dan tiga atau empat roda kecuali teksi.

Sepuluh plaza tol sistem terbuka, iaitu penetapan kadar tol berdasarkan kelas kenderaan tanpa mengira jarak perjalanan yang terbabit adalah Jitra, Lebuhraya Utara-Selatan, Lunas (Lebuhraya Butterworth-Kulim), Kubang Semang (Lebuhraya Butterworth-Kulim), Jambatan Pulau Pinang, Mambau (Lebuhraya Seremban-Port Dickson) dan Lukut (Lebuhraya Seremban-Port Dickson).

Turut tersenarai ialah Kempas (Lebuhraya Utara-Selatan), Perling (Lebuh raya Linkedua), Lima Kedai (Lebuh raya Linkedua) dan Tanjung Kupang (Lebuh raya Linkedua).

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi, berkata penggunaan pelekat khas dengan cip RFID yang ditampal pada kenderaan dan dihubungkan kepada aplikasi Touch ‘n Go eWallet ialah pilihan pembayaran terkini, sekali gus memudahkan pengguna lebuh raya untuk menambah nilai secara dalam talian.

“Pada masa sama, lebih banyak pilihan pembayaran sedang dibangunkan sama ada menerusi kad debit atau kredit, serta lain-lain eWallet.

“Pelanggan lebuh raya bakal mempunyai lebih banyak pilihan untuk menukar mod pembayaran apabila kemudahan ini tersedia dalam masa terdekat.

“Bagaimanapun, kaedah pembayaran tol sedia ada iaitu melalui kad Touch ‘n Go atau SmartTAG masih diterima seperti biasa di lebuh raya PLUS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas perancangan masa depan, Zakaria berkata, transaksi menggunakan teknologi RFID Touch ‘n Go di 83 plaza tol sistem tertutup di lebuh raya kendalian PLUS akan dilaksanakan pada 1 April, tahun depan.

Beliau turut memaklumkan bahawa sistem RFID di plaza tol Bangunan Sultan Iskandar, Tambak Johor hanya boleh digunakan untuk caj jalan bagi kenderaan Singapura.

Sementara itu, Pengarah Urusan Konsortium Lebuhraya Utara Timur Sdn Bhd (KESTURI), Tan Sri Lim Keng Cheng, berkata 23 lorong RFID di semua plaza tol Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) kini bersedia untuk beroperasi.