PARIT BUNTAR – Kerajaan negeri disarankan melaksanakan pelantikan ketua kampung dan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dengan berlandaskan standard prosedur lantikan secara berintegriti dan bukan bersifat politik.

Timbalan Yang Dipertua (YDP) Pas kawasan Parit Buntar, Abu Bakar Hussain berkata, amalan pelantikan institusi JKKK berlandaskan kepentingan politik sebagaimana diamalkan kerajaan BN perlu dimansuhkan serta-merta kerana tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Menurutnya, kesemua ketua kampung dan ahli JKKK dilantik perlu berwibawa, berintegriti dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab diberi demi kepentingan penduduk kampung.

“Pelantikan mereka perlu tapisan langsung dari pelbagai pihak sama sebagaimana proses lantikan imam masjid memandangkan mereka adalah pemimpin rakyat di peringkat akar umbi.

“Setidak-tidaknya mereka perlu memiliki kelulusan akademik minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mempunyai sahsiah baik, tiada rekod disiplin buruk, boleh membaca al-Quran dengan baik selain bersifat mesra masjid dan surau bagi yang beragama Islam,” katanya kepada Sinar Harian.

Abu Bakar berkata, berdasarkan pengalaman pada era kerajaan BN, kriteria pelantikan ketua kampung dan JKKK dilantik daripada kalangan mereka yang mempunyai hubungan baik dengan ketua Umno bahagian meskipun ada antara mereka tidak berkelayakan.

Menurutnya, pelantikan individu sebegini bertujuan diperalatkan BN dan Umno untuk kepentingan parti dan bukan atas asas kebolehan dan keterampilan mereka sehingga menyebabkan institusi JKKK mengalami kesuraman dan tidak teratur.

“Berdasarkan senario lepas terdapat beberapa kepincangan di mana ketua kampung dan ahli JKKK tidak memiliki standard kelulusan akademik selayaknya, jarang mengadakan mesyuarat kampung dan sebahagian mereka terlalu bias politik.

“Lebih malang, sebahagian ketua kampung dilantik bertindak memonopoli kemudahan awam untuk kepentingan diri, kroni dan parti semata-mata, malah ada yang mengutamakan pengagihan projek pembangunan rakyat di kawasan rumah mereka semata-mata sedangkan rakyat dianaktirikan,” katanya.

Abu Bakar turut membidas sebahagian ketua kampung atau ahli JKKK ketika zaman kerajaan BN yang terlalu mata duitan dengan mencari kesempatan mengaut keuntungan atas angin di atas projek-projek pembangunan kampung, namun pada akhirnya projek itu tidak berkualiti.

Selain itu, beliau menegaskan masih ramai ketua kampung atau ahli JKKK dilantik tidak prihatin dan ambil peduli masalah kampung, malahan terdapat segelintir ketua kampung yang sebenarnya tinggal di luar kawasan.

“Pada masa sama, ramai di antara mereka tidak mesra masjid dan surau di mana tinjauan saya sendiri mendapati hampir 70 peratus ketua-ketua kampung tidak menghadiri program masjid seperti solat berjemaah, kuliah pengajian agama dan sebagainya.

“Pas Parit Buntar berharap fenomena sama tidak diulangi kerajaan baharu Harapan Perak di mana proses pelantikan institusi JKKK secara tangkap muat akhirnya memberi kemudaratan kepada penduduk kampung sendiri.

“Selain itu, saya juga mencadangkan satu peruntukan khas tahunan diberikan kepada institusi JKKK sebagaimana peruntukan Adun bagi membolehkan mereka melaksanakan pelbagai aktiviti bermanfaat di peringkat kampung,” katanya – sinar