SERI ISKANDAR: Seorang lelaki dipercayai keldai rokok, ditahan selepas membawa 3,000 karton rokok seludup bernilai RM135,000 di Jalan Batu 16, Bota Kanan di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainan Abdullah berkata, lelaki itu yang berusia 33 tahun ditahan polis ketika memandu sebuah van yang kelihatan mencurigakan.

“Dalam kejadian pada pukul 9.45 pagi Isnin lalu, pemeriksaan oleh anggota unit peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah telah menemukan 3,000 karton rokok seludup di dalam van tersebut.

“Daripada siasatan awal, kita mendapati semua rokok yang dibawa dari Shah Alam, Selangor itu adalah untuk dijual di sekitar negeri Perak,” katanya dalam satu sidang media khas di sini, hari ini.

Tambah Mohamad Zainan, nilai cukai yang sepatutnya dibayar bagi rokok yang dirampas itu adalah berjumlah RM432,480.

Katanya, suspek didapati hanya berperanan sebagai penghantar rokok berkenaan yang diupah oleh seorang individu yang tidak dikenali.

“Dia dibayar upah RM200 untuk membawa rokok seludup tersebut kepada seorang individu lain.

“Suspek kini direman empat hari bermula semalam hingga 18 Ogos ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” ujar beliau.