PARIT BUNTAR – Seorang pekerja swasta trauma apabila cermin kereta dipecahkan pencuri menyebabkan dia hilang wang tunai dan beg tangan sewaktu meletakkan kenderaan itu di tempat parkir sebuah pasar raya di sini, 26 Jun lalu.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, Nuramirah Abd Raji, 30, difahamkan baru selesai membeli barangan di dalam pasar raya itu.

Menurutnya, sebaik pulang ke tempat parkir kenderaan, dia terkejut apabila melihat cermin sebelah kanan Proton Satria Neo nya dipecahkan pencuri.

“Saya periksa dan mendapati sebuah beg tangan dan sejumlah wang tunai dicuri oleh penjenayah terbabit.

“Terkejut dengan kejadian itu, saya segera buat laporan polis di Balai Polis Parit Buntar pada hari kejadian,” katanya kepada media di sini semalam.

Nuramirah berkata, dia cuba meminta bantuan pihak pengurusan pasar raya untuk menjejaki pencuri terbabit, namun hampa apabila kamera litar tertutup (CCTV) ditempatkan kawasan parkir bahagian dalam bangunan pasar raya itu tidak berfungsi.

Menurutnya, pihak pengurusan keselamatan pasar raya terbabit memaklumkan hanya kamera CCTV di kawasan parkir hadapan bangunan sahaja dihidupkan.

“Saya harap pengurusan pasar raya terbabit lebih peka akan keselamatan harta benda pelanggan memandangkan pada tahun 2010, saya juga pernah disamun dan diragut di kawasan berhampiran.

“Dalam kejadian itu, saya hampir dicederakan penyamun terbabit apabila pisau diletakkan di leher, manakala kerugian dialami melebihi RM5,000 melibatkan barang kemas, duit gaji dan telefon bimbit.

“Saya gesa mereka tingkatkan aspek penjagaan keselamatan harta benda dan nyawa pelanggan mereka,” katanya.

Sementara itu, pengurus besar pasar raya terbabit sewaktu dihubungi menegaskan pihaknya sudah menyediakan pondok khas untuk kegunaan polis bagi memudahkan operasi pemantauan di kawasan parkir di bahagian dalam bangunan pasar raya itu.

Selain itu, pihaknya juga sudah menempatkan beberapa anggota keselamatan di kawasan parkir bahagian dalam bangunan bagi tujuan pemantauan.

“Bagaimanapun, pihak pelanggan juga perlu bertanggungjawab terhadap segala barangan berharga ditinggalkan dalam kenderaan masing-masing kerana terdapat papan tanda dipasang memaklumkan pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan barangan.

“Berdasarkan laporan saya terima, pengadu sebenarnya meletakkan kenderaan di kawasan parkir yang tidak diletakkan kamera CCTV dan atas faktor itu kamera CCTV tidak dapat merakam jenayah yang berlaku.

“Saya akan membuat siasatan lanjut dan bersedia untuk menambahbaik aspek keselamatan di keseluruhan kawasan pasar raya demi kepentingan pelanggan,”katanya – sinar