MELAKA: Sebuah treler sarat dengan muatan gelung besi terbalik menyebabkan minyak diesel lori terbabit tumpah dalam kejadian di Lebuh Ayer Keroh, berhampiran persimpangan lampu isyarat Ayer Keroh Heights, di sini, pagi tadi.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi itu, treler terbabit membawa empat gelung besi seberat 10 tan setiap satu dari sebuah kilang berdekatan untuk dihantar ke Selangor.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh, PBK II Mohd Nazri Mat Rais berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10.27 pagi dan tiba di lokasi kejadian tujuh minit kemudian, bersama kekuatan sembilan anggota termasuk pegawai.

“Sebaik tiba, kita dapati badan treler dengan muatan gelung besi terbalik, namun kepala treler berada di kedudukan asal. Akibat kemalangan ini, tangki minyak treler mengalami kebocoran lalu berlaku limpahan diesel atas jalan.

“Kita melakukan pemeriksaan bagi memastikan tiada mangsa terbabit dalam kemalangan ini, sebelum menggunakan habuk kayu untuk menyerap diesel,” kata Mohd Nazri.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, laluan di Lebuh Ayer Keroh mengalami kesesakan hampir lima jam.

“Berdasarkan maklumat pemandu treler berusia 40 tahun, treler itu dipandu perlahan kerana baru bergerak selepas persimpangan lampu isyarat.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta BMW dari arah bertentangan tiba-tiba membelok ke kanan menuju kawasan komersial di situ, sekali gus memaksa pemandu terbabit membrek mengejut, lalu badan lori dengan muatan gelung besi itu terbalik,” kata Mohd Nazri – berita harian