PORT DICKSON: Ratusan tong gas petroleum cecair (LPG) bertaburan di atas jalan apabila treler yang membawa bahan itu terbalik di Kilometer 2.5, Jalan Linggi-Pedas, berhampiran Ladang Pengkalan Durian, di sini, hari ini

.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu berlaku apabila treler itu dalam perjalanan dari Petaling Jaya, Selangor ke Sungai Udang, Melaka.

Katanya, sebaik melalui selekoh, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan lalu merempuh perhentian bas di kiri jalan dan terbalik.

“Kejadian itu menyebabkan ratusan tong LPG yang dibawa bertaburan dan menghalang laluan menghala ke Pedas. Polis yang menerima panggilan awam bergegas ke lokasi bagi mengawal lalu lintas,” katanya di sini, hari ini.

Aidi Sham berkata, kemalangan itu menyebabkan pemandunya, S S Ramar, 50, yang berasal dari Taman Ria, di sini, cedera di leher dan tangan.

Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban untuk rawatan lanjut sebelum kerja mengumpulkan semula tong LPG itu dilakukan.

“Tiada sebarang kebocoran gas berlaku di lokasi kemalangan walaupun kenderaan itu remuk di tepi sebelah kiri selain cermin hadapan pecah,” katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Jalan Raya 166/ 59 – Berita harian