MAKKAH – Selepas tujuh hari beroperasi sejak 29 Ogos lalu dan membawa kira-kira 1.5 juta penumpang yang terdiri daripada jemaah haji, tren Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) pada Isnin menamatkan perkhidmatannya seiring dengan berakhirnya musim haji tahun ini.

Ia sekali gus menandakan perkhidmatan tren itu akan ‘berehat’ panjang dan hanya akan beroperasi semula pada musim haji akan datang.

Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) yang mengendalikan operasi tren itu sejak 2015 sekali lagi berjaya mempamerkan prestasi cemerlang menguruskan pengangkutan tersebut yang diiktiraf sebagai perkhidmatan tren paling sibuk dan terpadat.

Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Integrated Management (amp) Engineering Services (PRIME), (anak syarikat Prasarana yang mengendalikan MMMSL), Masnizam Hisham berkata pengendalian operasi pada tahun ini berjaya mencatatkan 112 peratus kadar pergerakan tren meningkat berbanding 110 peratus yang dicatatkan tahun lalu.

“Walaupun Prasarana berhadapan cabaran keadaan cuaca panas dan pertambahan jumlah penumpang berbanding tahun lepas, tetapi dalam masa tujuh hari beroperasi MMMSL berjaya membawa 1.5 juta penumpang, meningkat berbanding kira-kira 1.1 juta penumpang tahun lalu.

“Daripada maklumat yang kita terima daripada media-media Arab Saudi dan penumpang sendiri, ramai yang berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan,” katanya kepada media Malaysia selepas melepaskan tren MMMSL terakhir di Stesen Jamarat (Mina 3) di sini pada Isnin.

Katanya operasi kali ini juga mendapat maklum balas positif daripada pihak berkuasa Arab Saudi termasuk Pihak Berkuasa Pengangkutan Awam (PTA) negara itu yang merakamkan penghargaan kepada Prasarana kerana berjaya melicinkan pergerakan jemaah haji. – Bernama