IPOH: Dadah berperisa air mangga dengan setiap pembelian minuman keras bernilai sekitar RM300 berserta layanan perkhidmatan istimewa GRO merupakan tawaran terbaru sebuah premis karaoke ala VVIP di sini.

Tawaran yang semakin mendapat sambutan pelanggan itu akhirnya kecundang apabila pusat karaoke itu diserbu dalam satu operasi Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri.

Operasi yang dinamakan Ops Sarang itu berjaya menemukan ‘port’ bagi kegiataan terlarang itu sekitar Chemor dan Tambun.

Seramai 42 penguatkuasa termasuk anggota STRIKE AADK dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, dalam tempoh 24 jam bermula pukul 5.30 pagi semalam.

Dalam serbuan yang bermula pada pukul 3 pagi tadi, seramai  22 individu terdiri daripada 12 lelaki dan 10 GRO berusia antara antara 20 ke 30-an itu ditahan positif dadah jenis syabu.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK, Zolkifli Mohd Dom berkata, selain syabu, pengunjung juga ditawarkan dadah jenis ecstacy, eramin 5 dan ketamin oleh pelayan bar pada harga RM50.

“Daripada 22 individu yang ditahan itu, 17 orang terdiri daripada bangsa Cina dan lima lagi Melayu. Ada yang mengaku sedar dan ada yang kata tidak dengan bancuhan air dadah tersebut kerana ia mirip penggunaan paket minuman 3 dalam 1.

“Namun, inilah trend yang sedang hangat di pusat-pusat hiburan seluruh negara,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, pada awalnya, pengusaha premis pusat hiburan enggan kerjasama dengan mengunci setiap laluan masuk menyebabkan penguatkuasa merampas alat kawalan jauh yang dikunci secara automatik.

Dalam serbuan sekita Chemor, pihak AADK turut menahan 55 individu termasuk seorang remaja berusia 19 tahun yang dipercayai merupakan seorang tokan dadah.

Zolkifli Mohd Don berkata, kesemua suspek berusia 19 hingga 66 tahun yang disyaki penagih dadah itu ditahan dalam operasi selama 24 jam bermula kira-kira jam 5.30 pagi, semalam (Isnin).

“Seorang remaja berusia 19 tahun paling dikehendaki berjaya ditahan selepas lebih empat tahun menjadi tokan dadah di kawasan kelapa sawit di Kampung Cik Zainal, Chemor.

Menurutnya, kesemua suspek didapati positif dadah jenis heroin, syabu dan ganja menerusi ujian urin.

“Kesemua mereka ditahan dan dalam proses memperoleh perintah reman bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Turut hadir, Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK Perak, Azman Hashim.